Wednesday, 12 February 2020

THT ‘Berpeluh’ Jinakkan TNB

SHARE
TNB gagal memanfaatkan lima peluang pukulan sudut penalti.

KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa bermandi peluh sebelum membenam cabaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-0 dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 di Stadium Hoki Batu Buruk sebentar tadi.

Pertahanan import dari Korea Selatan sekali lagi menjadi wira THT apabila berjaya merobek pintu gol TNB pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti.

Jang Jong Hyun yang menerima hantaran baik dari Muhammad Umar Bhutta tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan melakukan pukulan cantik ke sudut kanan pintu gol TNB untuk menceriakan hampir 200 penyokong THT.

Pelawat yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpeluang menyamakan kedudukan selepas melakukan serangan balas pada minit ke-28, tetapi pukulan Muhammad Ramadan Rosli hanya singgah di tiang gol THT.

Beberapa minit berselang THT juga hadir dengan serangan cantik yang dijana oleh pasangan adik-beradik, Faizal Saari dan Fitri Saari, namun penyudah yang tumpul mengecewakan pasukan.
Ketangkasan Hafizuddin menyelamatkan tiga mata THT.
Perlawanan terus berlangsung sengit dengan deretan peluang yang diperoleh kedua-dua pasukan termasuk lima pukulan sudut penalti yang menjadi milik TNB.

Ketangkasan penjaga gol THT, Hafizuddin Othman juga wajar dipuji setelah berjaya menidakkan beberapa peluang keemasan TNB sekali gus memberi kelebihan kepada Terengganu untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan 1-0.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Jurulatih THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, keputusan hari ini memberi tonik terbaik kepada anak-anak buahnya menjelang pertarungan Piala TNB selepas kejuaran liga sudah terlepas ke tangan UniKL.

“Perlawanan ini ibarat aksi kalah mati buat kami, kami perlukan tiga mata penuh andai ingin mengekalkan peluang untuk memintas TNB bagi kedudukan kedua liga.

“Jaringan Jong Hyun beri kelebihan buat kami bermain secara taktikal, sekali gus mengecewakan lawan dan memberi tonik terbaik kepada kami sebelum saingan Piala TNB bermula,” ujar beliau.

THT kini kekal berada di kedudukan ketiga dengan 27 mata yang hanya dipisahkan satu mata di belakang TNB di tempat kedua.
Dhaarma memuji semangat yang ditunjukkan anak-anak buahnya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: