Tuesday, 4 February 2020

Terengganu Tambah Baik Dasar Tanah Negeri

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 4 Februari - Kerajaan Terengganu telah berjaya membuat pembaharuan Dasar Tanah Negeri setelah menaungi tampuk pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu bagi memudahkan urusan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penambahbaikan dari semasa ke semasa sentiasa dilakukan bagi membuka peluang dan membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Antara beberapa pembaharuan yang telah dilaksanakan adalah menaikkan tempoh pajakan mukim bagi tanah pertanian dari 60 kepada 99 tahun.

“Ia sama sebagaimana tempoh pajakan mukim tanah bangunan dan kediaman,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, menurut beliau, kelayakan untuk memohon bayaran premium tanah secara ansuran juga telah dinaikkan daripada pendapatan bulanan tidak melebihi RM700 kepada pendapatan RM1,700 sebulan.

“Dengan ini lebih ramai rakyat yang kurang berkemampuan layak untuk memohon bagi membayar premium tanah secara ansuran selama tempoh tiga tahun.

“Selain itu, permohonan tanah haram turut dibuka semula bermula Mei 2019 sehingga Disember 2020 setelah ia ditutup sebelum ini pada tahun 2012," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menyeru agar seluruh rakyat Terengganu merebut dan memanfaatkan peluang itu sebaiknya sebelum tamat tempoh.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: