Sunday, 9 February 2020

'Terengganu Kuatkan Hati Saya Di Jalan Dakwah' - Ustaz Abdul Somad

SHARE
Ustaz Abdul Somad ketika menyampaikan ceramah di HDUNTS di Hujung Tanjung Seberang Takir, Kuala Nerus.

KUALA NERUS, 9 Februari - "Malam ini saya diperkasakan oleh Terengganu," kata Daie Nusantara dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad.

Menurut beliau,  lemahnya dakwah disebabkan caci maki netizen di media sosial tetapi hati beliau dikuatkan dengan sokongan masyarakat Terengganu yang hadir dalam Himpunan Daie Ummah Nusantara Terengganu Sejahtera (HDUNTS).

"Malam ini saya akan pulang dengan hati yang kuat sebab sokongan yang amat kuat dari masyarakat Terengganu," jelasnya ketika berucap di HDUNTS di Hujung Tanjung Seberang Takir, di sini semalam.

Ustaz Mohd Nor (kiri) dan Ustaz Ariffin (kanan) turut hadir di HDUNTS di Hujung Tanjung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Terdahulu, Daie Ummah, Ustaz Azhar Idrus menyampaikan tazkirah maghrib dimoderatorkan oleh Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah.

Kira-kira 50,000 rakyat negeri Terengganu hadir di himpunan nusantara pertama diadakan selepas kerajaan Terengganu baharu memerintah sejak 2018.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan beberapa pimpinan kerajaan lain.

Menurut Ustaz Abdul Somad, ramai kunjungan jemaah di dalam masjid dan surau untuk mendengar ceramah adalah perkara biasa tetapi ramai kunjungan orang ramai di padang untuk berbuat demikian adalah luar biasa.

Antara para hadirin di HDUNTS di Hujung Tanjung Seberang Takir Kuala Nerus.
"Bila (ceramah) di dalam masjid ramai (mengunjung hadir) biasa, bila di dalam surau ramai, biasa tetapi di padang dengan hujan lebat orang tetap ramai tak berkurang itu barulah luar biasa.

"Yang hadir di hadapan saya ini dalam para mujahid fi sabilillah, yang hadir ini adalah pemuda, di masa akan datang, di tangan merekalah kekuasaan Islam," tegas beliau.

Bagi Ustaz Abdul Somad majlis tazkirah yang paling ramai beliau hadir tahun ini ialah di negeri Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: