Tuesday, 25 February 2020

Terengganu Bakal Perkenal Anugerah Usahawan

SHARE
Nurkhuzaini.
KUALA TERENGGANU, 25 Februari - Kerajaan Terengganu bercadang untuk memperkenalkan anugerah usahawan menjelang penghujung tahun 2020 bagi mengiktiraf peranan pengusaha perniagaan yang merancakkan sektor ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia juga sebagai menghargai sambutan hangat yang diberikan oleh para usahawan di negeri itu terhadap setiap program kerajaan.

“Selepas ini setiap usahawan kita yang berjaya kita akan berikan anugerah. Saya sudah berbincang dengan pihak Yayasan Pembangunan Usawahan (YPU) sebelum ini.

“Dan mungkin kita akan buat beberapa kategori untuk anugerah tersebut yang akan mendapat sokongan padu kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap pada Grand Dinner Himpunan 1,400 Usahawan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini kelmarin.


Terdahulu, beliau turut memaklumkan, pihaknya sedang melakukan penambahbaikan bagi mengenal pasti usahawan yang berpotensi untuk terus dibantu.

“Sebelum ini, data atau direktori yang mengumpulkan semua usahawan Terengganu sudah ada dan jumlahnya mencecah 22,000 orang, tetapi ia belum dikemaskini dengan teliti.

“Melalui data terbaru yang kita ada, kita akan buat pemutihan dan senarai baharu setiap usahawan Terengganu akan dikeluarkan supaya mudah untuk kita buat apa-apa program atau insentif lain,” tambah beliau.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: