Tuesday, 4 February 2020

‘Tanah Diambil Kerajaan, Demi Kepentingan Rakyat ’ - Dr Azman

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 4 Februari - Rakyat dinasihatkan agar memahami duduk perkara sebenar sekiranya kerajaan memutuskan untuk tindakan mengambil balik tanah bagi kepentingan awam berikutan hak pemilik sudah dijamin di bawah Akta Pengambilan Tanah (Pindaan 2016).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, nilaian kepada setiap tanah yang diambil akan dipastikan setimpal dan mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak.

Malah, akta tersebut hanya dibenarkan untuk pengambilan balik tanah bagi maksud dan tujuan awam sahaja.

“Maknanya apabila kerajaan nak ambil tanah kita untuk tujuan kegunaan awam seperti membina sekolah, hospital, jalan raya, balai polis, tapak perkuburan, masjid, padang bola, dewan orang ramai dan sebagainya, pengambilan balik tanah tersebut mestilah dengan nilai harga yang dipersetujui oleh tuan tanah. Hak tuan tanah dijamin dalam hal ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Dialog Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Oh dan Kampung Cabang Tiga Oh di sini kelmarin.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, sekiranya persetujuan harga tidak boleh dicapai antara kerajaan dan pemilik tanah, rakyat boleh memanjangkan perkara ini ke atas untuk mendapatkan pengadilan sewajarnya.

“Maka tuan tanah boleh membawa kes ke mahkamah untuk mendapatkan pengadilan yang setimpal.

“Pada kebiasaannya, Pegawai Penilai akan menilai setiap struktur binaan dan setiap batang pokok atas tanah yang akan diambil di samping nilai tanah tersebut,” tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: