Saturday, 8 February 2020

Sultan Mizan Rasmi Masjid Jambu Bongkok Terengganu

SHARE
Sultan Mizan (tengah) berkenan menandatangani plak Majlis Perasmian Masjid Jambu Bongkok Marang.
MARANG, 8 Februari - Sultan Terengganu Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan merasmikan Masjid Jambu Bongkok di sini semalam.

Sultan Mizan mencemar duli berangkat ke masjid berkenaan diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Syeikh Harun Syeikh Ismail serta pengiring-pengiring.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak dan ahli-ahli jawatankuasa majlis perasmian masjid berkenaan.

Sultan Mizan mencemar duli bersalaman dengan orang ramai selepas selesai solat jumaat di Masjid Jambu Bongkok Marang.
Kemudian dipohon limpah berkenan ke bawah duli Tuanku Sultan oleh Tun Faisal untuk baginda berangkat ke dalam masjid bagi mengikuti persembahan acara majlis perasmian.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyembah ucapan ke bawah duli Tuanku Sultan menyentuh sejarah dan peranan masjid dalam masyarakat.

Sultan Mizan bertitah menyatakan peranan masjid untuk perpaduan umat Islam dan melaksanakan aktiviti bermanfaat bagi ahli kariah setempat.

Bacaan doa oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Zulkifly Muda sejurus selesai Tuanku Sultan bertitah di majlis tersebut sekali gus menjadi khatib dan imam Solat Jumaat di masjid berkenaan.

Seterusnya Tun Ahmad Faisal menghadap dan memohon limpah perkenan ke bawah duli Sultan Mizan untuk berangkat ke majlis jamuan tengahari.

Selesai majlis itu Tuanku Sultan berangkat balik diiringi Dr Ahmad Samsuri dan Syeikh Harun serta pengiring-pengiring.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: