Thursday, 13 February 2020

Shaharizukirnain Dilantik Bapa Angkat Skuad Tinju SUKMA

SHARE
Shaharizukirnain (dua dari kiri).
Oleh: Muhammad A Rahman

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir telah dipilih menjadi Bapa Angkat kepada Kontijen Tinju Negeri Terengganu sempena kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor Julai nanti.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Majlis Pentauliahan Ketua dan Timbalan Ketua Kontijen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat di Wisma Darul Iman semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis, Shaharizukirnain mengharapkan Pasukan Tinju Terengganu mampu mengekalkan momentum untuk menambah pingat sekali gus mengharumkan negeri dalam acara itu.

“Saya berbangga dapat menjadi bapa angkat bagi sukan Tinju yang telah berjaya mengharumkan nama Terengganu pada temasya SUKMA lalu.

“Saya juga berharap dapat memberi rangsangan dan dorongan kepada atlet tinju kita dalam menjuarai SUKMA yang akan diadakan di Johor tahun ini,” ujar beliau selepas berakhirnya majlis tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.

Pada SUKMA 2018 yang lepas, skuad tinju Terengganu telah menyumbang tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim pula dilantik menjadi Bapa Angkat untuk acara ibu segala pingat, sukan bola sepak.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: