Saturday, 8 February 2020

Segerakan Bayaran Tanah Premium

SHARE

Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 8 Februari – Penerima borang 5A bagi tanah terkilan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) perlu menjelaskan dengan kadar segera bayaran tanah premium.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, walaupun diberi tempoh selama tiga bulan untuk menjelaskannya, namun masa itu terlalu singkat jika penerima mengambil mudah perkara berkenaan.

“Dapat tanah ni, selesai terus secepat yang mungkin, cubalah pinjam dengan anak- anak atau saudara mara yang terdekat dan jangan curi sudah,” katanya.

Jelasnya lagi, jika peserta gagal melangsaikannya dalam masa tiga bulan itu, tanah tersebut terpaksa melalui proses mesyuarat kali kedua untuk dapat kelulusan.

“Kita terpaksa angkat balik dan bermesyuarat di peringkat exco negeri dan melalui proses yang banyak mengikut prosedur kelulusan tanah. Sebab itu perlu diselesaikan juga dengan segera,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Borang 5A RTB Paya Rengit Tanah Terkilan di Balairaya Kampung Tebing Tembah, Paka, baru-baru ini.

Pada majlis itu seramai 40 orang daripada 82 jumlah keseluruhan peserta yang menerima borang 5A.

“Hari ini kita selesai sebahagian dahulu iaitu seramai 40 orang dan yang masih berbaki kita sedang dalam proses.

“Diharap baki para penerima borang 5A hari ini dapat bersabar kerana semua akan menerimanya nanti,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: