Friday, 14 February 2020

RM5 Juta Bina Masjid Kem Tentera Seberang Takir

SHARE
Azmin menyerahkan replika cek projek pembinaan masjid kepada Dr. Samsuri.
KUALA NERUS, 14 Februari - Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi membangunkan masjid baharu Kem Seri Pantai 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) (Para) Seberang Takir, sebagaimana persetujuan yang dicapai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada pertemuan yang berlangsung November lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau dimaklumkan kerajaan negeri akan keperluan untuk membangunkan sebuah masjid baharu di kem tersebut berikutan masjid sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung bilangan jemaah yang semakin ramai sama ada di kalangan warga tentera mahupun orang awam.

“Selaras dengan perintah Allah SWT yang menyuruh kita berlaku adil, adil perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang mana peruntukan kerajaan hari ini di peringkat Persekutuan harus diagihkan kepada semua negeri secara saksama khususnya negeri-negeri yang masih memerlukan pembangunan untuk mengangkat martabat umat.

“Maka, atas semangat untuk bersama-sama membangun dan menyemarakkan syiar Islam di seluruh negara, kementerian saya telah meneliti permohonan ini dan insya-Allah kita setuju utk menunaikan janji ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Replika Cek bagi projek masjid tersebut di Kem Seri Pantai 18 RAMD Seberang Takir, di sini hari ini.

Dr. Samsuri bersama Azmin melihat pelan pembinaan masjid baharu.
Sementara itu, Dr. Samsuri yang hadir menerima replika cek berkenaan menyatakan, kehadiran hari ini secara dasarnya menunjukkan hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Azmin atas kelulusan pembinaan masjid ini. Di atas semangat menghormati konsep federalisme, kita boleh duduk berbincang dan sepakat dalam membangunkan negeri dan negara kita yang tercinta ini.

“Perkara ini penting dalam usaha kita menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 terutamanya dalam aspek pembangunan wilayah yang seimbang,” katanya.

Pembinaan masjid baharu tersebut dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dan memakan masa sehingga dua tahun.

Manakala, masjid lama yang terletak di kem berkenaan dicadangkan bakal menjadi ruang kelas pengajian bagi anak-anak tentera sekiranya mendapat persetujuan pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: