Thursday, 20 February 2020

Pusat Tafaqquh Fi Din Perkasa Pengajian Islam

SHARE


Oleh: Amiirullah Mansor

KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung yang bakal dibangunkan di Pulau Wan Man akan memperkasakan lagi pengajian Islam di negeri ini seterusnya mengangkat kembali Terengganu sebagai hub pendidikan turath.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata , pusat ilmu yang secara tidak langung bertindak sebagai edu-tourism itu juga bakal melahirkan para ulama yang berketerampilan.

"Pusat ini adalah kesinambungan kepada para lepasan pondok untuk meneruskan pengajian turath dan sistem talaqqi dengan lebih mendalam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Taklimat Peruntukan Oleh JAKIM Kepada Pondok, Tahfiz, SAN, SAR, SAS Dan SAP di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), baru-baru ini.


Sementara itu, Satiful yang mewakili kerajaan negeri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada individu dan masyarakat yang membangunkan pengajian pondok seperti mengusahakan tanah, fasiliti dan tenaga pengajar.

"Kita sangat menghargai hasil usaha mereka yang sanggup menginfakkan sebahagian harta dan mewakafkan untuk mengembangkan institusi pondok di negeri ini.

"Kebiasaannya hasil sumbangan ini daripada orang pencen yang membelanjakan hasilnya itu di jalan Allah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan pusat pengajian lanjutan bagi mengatasi kegusaran pelajar melanjutkan pengajian ke luar Negara.

“Seperti sedia maklum, krisis yang berlaku di negara luar termasuk peperangan dan pergolakkan terutama di negara-negara Islam sedikit sebanyak membimbangkan pelajar yang ingin menyambung pelajaran, dan kita sebagai kerajaan akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: