Sunday, 2 February 2020

Program Ziarah i-Mits Bukit Besi Utamakan Warga Emas Wanita

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 2 Februari – Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melalui hal ehwal wanita, masyarakat dan beliawanisnya menyasarkan warga emas wanita sebagai keutamaan untuk diziarahi khususnya yang menghidapi penyakit.

Penolong Penyelia i-MiTS DUN berkenaan, Zakiah Alias berkata, ianya termasuk mereka yang masih belum menerima bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan.

“Samada dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Tabung Darul Iman (TDI) dimana kita ambil pendekatan menyerahkan borang-borang yang perlu diisi serta cuba memohon bagi memenuhi keperluan pesakit,“ jelasnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, mengulas mengenai aktiviti ziarah yang dilakukan pada hari ini.

Jelasnya, ziarah berkenaan turut melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) wanita setempat, juga terdiri dari Wanita Muda (Ameerah) PAS, serta Muslimat PAS mengikut cawangan.

Katanya, program ziarah wanita yang diadakan itu mensasarkan lebih 20 buah rumah dalam sebulan.

“Insya-Allah didalam tahun ini kita akan menghabiskan kesemua 23 cawangan didalam DUN Bukit besi untuk kita ziarahi.

“Kita juga mendapat sokongan serta bantuan daripada pihak Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi dimana ketika ziarah ada sedikit buah tangan kita sampaikan sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, program ziarah pada tahun ini telah dipergiatkan mengikut perancangan yang telah disusun.

“Aktiviti ziarah yang kita lakukan turut tidak melupakan ibu muda yang baru mendapat cahayamata.

"Ziarah dilakukan ini kita rekodkan mengikut keutamaan, keperluan  dan disusun mengikut kategori.

"Diharapkan agar usaha kita ini sebagai mewakili kerajaan negeri, akan memastikan mereka yang kita ziarahi akan merasai kecaknaan serta keprihatinan daripada pihak kerajaan kepada mereka,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: