Friday, 7 February 2020

Pemidato Hebat Mampu Mempengaruhi Pendengar

SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Pemidato yang hebat mampu memukau, mempengaruhi serta menaikkan semangat mereka yang mendengarnya termasuk mengubah pandangan masyarakat melalui pidato yang disampaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia boleh membangkitkan masyarakat yang sedang lena malah boleh menjatuhkan kuasa yang besar dengan kehebatan yang mereka ada.

"Apabila kita mendengar pemidato yang hebat, maka kita merasakan seolah-olah  berada di suatu tempat berbeza dan bayangkan ribuan orang sanggup menunggu untuk mendengar apa yang hendak disampaikan.

"Oleh itu, untuk menjadi pemidato yang hebat, tidak cukup dengan apa yang kita ketahui serta bacaan dan susunan bait-bait yang indah kerana kita perlu bersama  masyarakat merasai denyut nadi rakyat, supaya dapat dirasai oleh pendengar.

"Sampaikan kepada masyarakat apa yang hendak disampaikan, kejutkan mereka, bangkitkan mereka dengan berita yang sahih dan jangan ada perkara-perkara yang tidak benar, yang direka, tidak jelas, fitnah dan sebagainya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan Pidato Piala Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Terengganu Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Turut hadir, Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Jona dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar.

Penganjuran kali pertama yang
bertemakan 'Belia Pencetus Revolusi Negara' berjaya menarik penyertaan seramai 67 peserta yang terdiri daripada 40 pelajar sekolah menengah dan 27 kategori terbuka.


Bagi kategori sekolah menengah, Yasmin Suffiyah Muhammad Ilias dari Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Alawiyah, Kangar, Perlis dinobatkan sebagai johan.

Beliau membawa pulang piala pusingan, piala iringan, piala johan, wang tunai RM800 dan sijil penyertaan.

Manakala Amiruddin Abd Rahman dari Universiti Pertanian Malaysia bergelar johan bagi kategori terbuka dan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, piala johan, wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: