Saturday, 8 February 2020

‘Pembinaan Surau Dan Masjid Perlu Ikut Peraturan’ - Titah Sultan Mizan

SHARE

L
Sultan Mizan Zainal Abidin.
MARANG, 8 Februari - Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyeru kerajaan negeri mengambil tindakan segera kepada pihak yang membina masjid dan surau serta menaik taraf surau kepada masjid tanpa mendapat kelulusan dan tidak mengikut peraturan yang sepatutnya.

Sultan Mizan bertitah mengingatkan semua pihak supaya setiap pembinaan masjid, surau dan menaik taraf surau kepada masjid di negeri ini perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Beta mengingatkan semua pihak supaya setiap pembinaan masjid, surau dan menaik taraf surau kepada masjid di negeri ini hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Beta menyeru kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan mengambil tindakan segera sekiranya ada pembinaan masjid, surau atau menaik taraf surau kepada masjid tanpa mendapat kelulusan dan tidak mengikut peraturan yang sepatutnya,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Jambu Bongkok di sini semalam.

Sultan Mizan (dua dari kanan)  menandatangani plak perasmian Masjid Jambu Bongkok Marang.
Turut hadir mengiringi keberangkatan Sultan Mizan ke masjid berkenaan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja Negeri, Syeikh Harun Syeikh Ismail.

Sultan Mizan seterusnya menyeru agar masjid dijadikan sebagai tempat menyatupadukan ahli kariah di samping pusat pengembangan spiritual masyarakat setempat.

“Beta menyeru agar kita semua berusaha bersungguh-sungguh dengan menjadikan masjid bukan hanya sebagai mercu tanda syiar umat Islam dan tempat kita melakukan solat berjemaah, membaca al-Quran, beriktikaf dan beribadah yang lain semata-mata.

Sultan Mizan (tengah) bersalaman dengan orang ramai selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jambu Bongkok Marang.
“Bahkan masjid perlu dijadikan sebagai pusat kegiatan yang memberi manfaat dan tempat menyatupadukan ahli kariah serta ianya perlu dijadikan pusat pengembangan spiritual masyarakat setempat,” titah Tuanku Sultan.

Sultan Mizan juga mengingatkan ahli jawatankuasa masjid agar menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipegang dengan memastikan semua arahan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya JHEAT mengenai hal ehwal masjid dipatuhi dengan sebaik mungkin.

“Beta berdoa supaya sumbangan bakti jawatankuasa masjid yang memastikan masjid diimarahkan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah dan dikira sebagai amal soleh.

“Mengambil kesempatan pada saat ini juga beta menyeru anak mukim masjid ini agar sama-sama dapat mengimarahkan rumah Allah ini dan menjadikan masjid tempat untuk mendidik, membentuk diri kita untuk menjadi Muslim yang berjiwa murni, berakhlak terpuji dan bertakwa,” titah baginda lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: