Tuesday, 11 February 2020

PAS Konsisten Sokong Tun Mahathir Sebagai PM

SHARE

KUALA NERUS, 11 Februari- "Hanya mereka yang paranoid akan bertindak menentang usul undi percaya kepada Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan dibentangkan parti itu di parlimen bulan depan," menurut Naib Presiden Pas, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, parti itu tetap konsisten dengan pendirian menyokong kepimpinan Tun Mahathir sebagai ketua negara sehingga penggal pemerintahan berakhir.

Menurutnya, dakwaan bahawa usul undi percaya itu sebagai usaha Pas untuk memecah belahkan Pakatan Harapan (PH) adalah tafsiran pihak yang paranoid terhadap isu berkenaan.

"Kenapa, dia tidak sokong perdana menteri ke?  kalau sokong sepatutnya sama-sama bersetuju untuk beri sokongan kecuali yang bercakap itu ada hasrat lain tidak sokong PM.

"Hanya orang paranoid dan takut kepada bayang-bayang sahaja cuba alih isu ini, yang nyata PM adalah orang yang jalankan tugas pada waktu ini.

"Kita konsisten bahawa PM mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membawa negara keluar dari keadaan sebelum ini kepada yang lebih baik.

"Kalau sekejap-sekejap hendak tukar driver perjalanan  mungkin entah ke mana,  jadi lebih baik dengan driver sama teruskan perjalanan," katanya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Anugerah empower ECER Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini hari ini.

Dr Ahmad Samsuri turut menafikan penglibatan Pas dalam Pakatan Nasional sebagaimana yang digemburkan pihak tertentu sebaliknya parti itu kekal bekerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional.

Malah katanya, sokongan kepada perdana menteri juga tiada kaitan dengan dakwaan kononnya Pas terikat kerana menerima dana dari Kerajaan Persekutuan.

"Saya pun tidak faham apa kaitan antara dua perkara itu. Undi percaya bagi mana-mana pihak dalam parlimen kepada PM adalah perkara yang tidak pelik untuk beri keyakinan perdana menteri teruskan kerja (kerana) sekarang ini kita banyak dengar ada pihak bercita-cita nak jadi PM sehingga timbullah istilah PM tepi dan sebagainya," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: