Sunday, 9 February 2020

Mukjizat Al-Quran Perkara Ilmu Tertinggi

SHARE



Oleh: Aslam Wira
Foto: Hishamuddin Abdullah

MARANG, 6 Februari - Sejak daripada penciptaan manusia pertama, Nabi Adam a.s sehingga nabi akhir zaman, Muhammad SAW, perkara ilmu merupakan agenda utama dan tertinggi oleh Allah SWT.

Al-Quran merupakan mukjizat yang mengandungi semua ilmu termasuk ilmu dunia dan melaluinya, umat Islam telah membina tamadun yang hebat.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata kita sedang melihat keruntuhan tamadun barat sekarang akibat ilmu yang salah.

Katanya, walaupun mereka maju dengan alat-alat teknologi yang canggih, namun institusi keluarga dan jati diri mereka telah musnah.

“Oleh itu, agenda ilmu pendidikan sangat penting bagi umat Islam dalam menjana kemajuan ummah dan memakmurkan muka bumi.

“Orang islam juga telah membuktikan kejayaan dalam ilmu sains dan teknologi dengan mencernakan ilmu-ilmu daripada Rom, Parsi, China, India dan lain-lain,”katanya.

Beliau berkata ketika hadir merasmikan Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRI DQ) Rhu Rendang di bangunan sementara bersebelahan Masjid Rhu Muda, Khamis lalu.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatan Kuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bati Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurutnya lagi, masyarakat perlu kembali kepada acuan islam, mendidik anak-anak dengan pendidikan yang mempunyai roh islam.

“Di sini kita dirikan pusat-pusat pendidikan kita sendiri, yang kini mendapat sokongan dan pandangan positif di seluruh negara bahkan dunia,” tambahnya lagi.

SRIDQ Rhu Rendang memulakan sesi pembelajaran pada 1 Januari lalu, kini mempunyai 37 pelajar dengan enam tenaga pengajar serta tiga kakitangan sokongan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: