Wednesday, 5 February 2020

Malaysia Tidak Perlukan PPSMI - MP Setiu

SHARE
Shaharizukirnain (berdiri tengah).
Oleh: Muhammad A Rahman

SETIU, 5 Februari - Ahli Parlimen Setiu menggesa Kerajaan Persekutuan mengekalkan sistem pendidikan sedia ada dan membantah pelaksanaan semula Dasar Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata
, ini kerana kegagalan PPSMI sudah terbukti sejak ia diperkenalkan beberapa tahun yang lalu.

Katanya, pentaksiran yang dilakukan oleh ‘Trends in International Mathematics and Science Study’ (TIMSS) dan ‘Program for International Students Assessment’ (PISA) menunjukkan penurunan ketara prestasi pelajar setelah PPSMI dilaksanakan.

“Pelaksanaan PPSMI kali kedua atau PPSMI 2.0 akan memudaratkan para pelajar khususnya mereka yang berada di kawasan luar bandar.

“Mereka bukan sahaja berdepan dengan masalah memahami konsep Sains dan Matematik, malah turut dibebani dengan pembelajaran subjek tersebut dalam bahasa Inggeris jika ia diteruskan,” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Pusat seharusnya menyelesaikan polemik yang lebih penting seperti bantahan penggunaan jawi dalam kalangan pelajar dan isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

“Saya juga memohon agar kerajaan berhenti menjadikan pelajar sekolah rendah dan menengah sebagai bahan kajian yang akhirnya memangsakan para pelajar,” tambah beliau.

Pada 31 Januari, Perdana Menteri, Dr Mahathir yang juga pemangku Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah bagi menggalakkan penggunaan bahasa antarabangsa itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: