Wednesday, 5 February 2020

Lulus Bantuan, Beli Beruk

SHARE

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 5 Februari - Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menganggap permohonan bantuan seorang penduduk, Mat Yusoff Noh, 56, untuk membeli beruk sebagai unik dan jarang berlaku.

Bagaimanapun permohonan itu tetap diluluskan kerana ianya memenuhi syarat kelayakan selain melihat kesungguhan Mat Yusoff yang mahu mengubah nasib keluarga mencari rezeki dengan mengait buah kelapa menggunakan keringat haiwan itu.

Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman berkata, permintaan seperti itu tidak pernah berlaku.

Katanya, pihaknya bersetuju untuk membantu Mat Yusoff, oleh kerana beliau sangat bersungguh-sungguh untuk mendapatkan haiwan itu untuk mengambil upah mengait kelapa.

“Selain daripada membeli beruk tersebut, bantuan pinjaman modal lain turut diagihkan,” katanya yang tinggal di Kampung Gong Beris.


Turut hadir dalam ziarah itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Yusof dan Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng.

Mat Yusoff berkata, pemberian haiwan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk  bekerja di mana dia kini mampu mendapatkan 300 sehingga 500 biji kelapa sehari,

“Saya tidak dapat bekerja berat kerana menghidap penyakit usus, jadi ini salah satu kaedah memudahkan dan mengurangkan kudrat dalam mencari rezeki,” katanya yang turut memperoleh bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: