Sunday, 9 February 2020

Lepasan Imtiaz Mandarin Berpeluang Sambung Pengajian Di Luar Negara

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar/  Foto: Wan Amirullah Wan Mansor

DUNGUN - Kerajaan Negeri berhasrat menghantar pelajar lepasan Sekolah Menengah Imtiaz Mandarin  melanjutkan pelajaran  ke luar negara termasuk China atau Taiwan untuk mengikuti bidang yang mereka minati.

Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata,  bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri itu, pelaksanaan program Tahfiz Mandarin telah bermula awal tahun ini dengan pengambil pelajar baharu seramai 20 orang  di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Marang.

Penubuhan program Tahfiz Mandarin bertujuan untuk membolehkan program multi-lingua dapat dilaksanakan kepada pelajar-pelajar selaras dengan hasrat untuk melahirkan generasi Ulul Albab yang menekan aspek ensiklopedik iaitu pelajar mahir sekurang-kurangnya dua bahasa asing.

"Dengan itu mereka lebih memahami perbezaan budaya  dan  bahasa serta sama-sama membangunkan  bumi  Malaysia yang lebih aman dan maju di masa-masa akan datang," ujarnya .


Beliau yang  merangkap sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Paka itu berucap demikian di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 Peringkat Kawasan Dungun yang diadakan di Jalan Tambun dekat sini kelmarin .

Majlis itu juga dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang , Alias Harun, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri berusaha melaksanakan janji manifesto pilihanraya lalu untuk semua rakyat negeri itu tanpa mengira agama, kaum, bahasa dan warna kulit.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: