Tuesday, 25 February 2020

Keluarga Mangsa Lemas Terima Manfaat Takaful

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 25 Februari- Keluarga kepada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun yang meninggal dalam kejadian lemas di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan pada 17 Januari lalu menerima cek wang manfaat Takaful Malaysia bernilai RM41,500 seorang.

Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail menyerahkan cek tersebut kepada bapa setiap pelajar berkenaan di dewan serbaguna PSMZA dengan turut dihadiri Pengurus Perniagaan Takaful Malaysia Terengganu, Zanan Kassim.

Mangsa yang lemas dalam kejadian itu ialah Mohammad Amir Izzudin Zulkiflee, Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Mohamad Ikhwan Ahmad Azhan, dan Zulfahmi Zuki yang kesemuanya berusia 21 tahun.

Menurut Mohd Fikri, semua pelajarnya diwajibkan mencarum dengan Takaful Malaysia sebanyak RM10 setahun dimana caruman itu memberi feadah yang sangat bermakna sekiranya berlaku kemalangan atau kematian kepada pelajar.

"Memandangkan pelajar-pelajar politeknik berhadapan banyak risiko, mungkin semasa belajar menggunakan mesin berlaku kemalangan atau apa sahaja, mereka dikehendaki menyertai takaful,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penghargaan Sempena Operasi Mencari Dan Penyelamat(SAR) Pantai Teluk Bidara, Dungun dan Penyerahan Wang Manfaat Takaful Ikhlas di politeknik tersebut, semalam.

Sempena majlis tersebut juga, sijil penghargaan turut disampaikan kepada mereka yang terlibat dengan SAR di Pantai Teluk Bidara.

Mohd Fikri berkata, sebelum ini juga, wang manfaat pernah  diberikan kepada pelajar yang terlibat dengan kemalangan dimana jumlahnya bergantung kepada jenis kecederaan dan kemalangan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: