Sunday, 2 February 2020

Kecemerlangan David John Lebur Hasrat THT

SHARE
David John menggagalkan peluang THT untuk menjaringkan gol.
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Hasrat Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk membalas dendam atas kekalahan kepada UniKL dalam Piala Sumbangsih awal tahun lalu berkecai apabila sekali lagi tumpas kepada pasukan itu 0-2 sebentar tadi.

Kecemerlangan penjaga gol terbaik dunia, David John Harte yang menafikan deretan peluang THT pada separuh masa pertama ternyata mengecewakan hampir 300 penyokong di Stadium Hoki Batu Buruk di sini.

Jurulatih THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, David melakukan kira-kira lima penyelamatan berkelas dunia untuk menafikan gol pasukan Terengganu.

“Kita menampilkan aksi berkualiti terutamanya pada babak pertama perlawanan, namun saya rasa penjaga gol UniKL beraksi sangat cemerlang hari ini.

“Dia menyelamatkan keadaan yang cukup penting bagi THT menjaringkan gol, dan permainan terus menjadi sukar (pemain hilang fokus) buat THT apabila UniKL mendapat gol pertama menerusi pukulan sudut penalti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Dhaarma tetap berbangga dengan kesungguhan anak buahnya.
Mengulas lanjut, Dhaarma turut mengakui beberapa keputusan yang dibuat pengadil dalam perlawanan hari ini banyak menjejaskan moral para pemainnya.

Katanya, perkara itu boleh dilihat dengan lebih jelas dalam suku keempat permainan apabila pemainnya dilayangkan kad hijau dalam situasi yang sangat tidak wajar.

“Sama seperti perlawanan Piala Sumbangsih sebelum ini, beberapa keputusan kontroversi pengadil mengganggu fokus dan emosi pemain.

“Di saat kita memerlukan kemenangan dan ketinggalan jaringan, keputusan pengadil memang membuat pemain hilang semangat dan gagal mengatur strategi dengan baik, ini memberi tamparan hebat kepada kita,” tambah beliau.

Dalam perlawanan itu, UniKL meneruskan rentak kemenangan untuk kekal di puncak liga hasil jaringan kapten kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-33 dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin seminit sebelum permainan berakhir.

Faizal Saari dikawal ketat oelh pertahanan UniKL.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: