Wednesday, 19 February 2020

Ke Mana RM1.14 Bilion Bakal Dibelanjakan?

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) dan Dato' Seri Azmin Ali (kanan).
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan rasa terima kasih kepada Menteri hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali atas kelulusan peruntukan sebanyak RM1.14 bilion untuk pembangunan infrastruktur negeri itu bagi tahun 2020.

“Terima kasih kerana telah meluluskan peruntukan untuk Rolling Plan keempat tahun 2020 bagi negeri Terengganu melaksanakan 281 projek dalam negeri ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 39 projek baharu diluluskan dengan kos RM18.15 juta, manakala sebanyak 242 projek sambungan dengan kos RM1.115 bilion,” katanya ketika berucap di Kem Seri Pantai 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) (Para) Seberang Takir, baru-baru ini.

Jelasnya, di samping kelulusan itu, beliau juga amat mengalu-alukan kelulusan projek-projek kecil yang memberi manfaat kepada rakyat seperti penyelenggaraan surau, masjid dewan orang ramai, jalan-jalan kampung, longkang parit dan sebagainya.

“Kita melihat beberapa persoalan yang berlaku di negeri Terengganu yang berkait dengan isu-isu hakisan yang berlaku serta keperluan untuk pembinaan infrastruktur bagi perhubungan rakyat di Pulau Redang dan sebagainya .

“Semua perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut antara kerajaan negeri dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi terutamanya dengan kerjasama Dato’ Seri Azmin Ali,” katanya.

Dr. Samsuri berharap pembangunan Terengganu tidak dilupakan oleh Persekutuan kerana ia sama-sama memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri, tetapi juga kepada negara secara amnya.

“Hubungan yang baik ini akan diteruskan, dan saya percaya inilah yang kita mahu bukan sahaja dalam negeri Terengganu, bahkan di semua negeri dalam Malaysia ini,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: