Monday, 3 February 2020

Jangan Jadi Golongan Angguk Dan Geleng - Zuraida

SHARE


Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto oleh : Hishamuddin Abdullah dan Pok Abbas

KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Menjelang Era 2020 ini, wanita tidak lagi boleh sekadar menjadi golongan yang mengikut arahan semata-mata tanpa berani menyuarakan pendapat sendiri (angguk dan geleng).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, para wanita harus bangkit bagi memenuhi ruang-ruang untuk menambah ilmu dan kemahiran serta menggunakan segala kudrat dan kelebihan yang ada bagi menyumbang kepada pembangunan dan keharmonian negara.

“Era 2020 ini adalah era yang memaksa kita sebagai wanita untuk memutuskan banyak perkara penting dalam masyarakat. Era di mana pencapaian ditentukan oleh kecemerlangan modal insan.

“Rebutlah peluang menjadikan diri sendiri sebagai mutiara yang berharga di tengah masyarakat yang sinarnya mampu menerangi kegelapan kejahilan,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Wanita Muda se-Malaysia di Stadium Negeri ,baru-baru ini.


Kata Zuraida lagi, Konvensyen Wanita Muda se-Malaysia yang telah berjaya mempertemukan wanita dari segenap pelosok negara ini tidak boleh dibiarkan tamat begitu sahaja.

“Semoga Konvensyen Wanita Muda se-Malaysia yang telah berjaya menghimpunkan ribuan wanita pada hari ini tidak hanya berakhir di sini sahaja sebaliknya menjadi satu titik permulaan.

“Jadikan ia sebagai titik mula untuk memacu kecemerlangan para wanita dalam perjuangan membangunkan sesebuah masyarakat seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara yang sejahtera”, tambahnya.



Konvensyen Wanita Muda se-Malaysia ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan turut dihadiri oleh Ahli Dewan Negara (Terengganu), Senator Nuridah Mohd Salleh.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: