Monday, 3 February 2020

Jadikan KWM Sebagai Program Tahunan - Mardhiyyah

SHARE


Oleh : Syazwana M.Zohir
Foto oleh : Hishamuddin Abdullah dan media KWM

KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Konvesyen Wanita Muda se-Malaysia (KWM) yang telah melabuhkan tirainya pada hari Sabtu baru-baru ini wajar dijadikan sebagai program tahunan.

Pengarah KWM, Mardhiyyah Johari berkata jika dilihatkan kepada dokongan baik yang diterima sepanjang dua hari penganjuran konvesyen tersebut, wajarlah untuk ia diteruskan secara tahunan.

“Saya mengharapkan konvensyen seumpama ini dapat diteruskan secara tahunan, seterusnya dapat membudayakan wanita muda dengan ilmu dan fakta seterusnya memupuk sikap peduli kepada permasalahan yang dihadapi masyarakat.

“Penganjuran konvensyen seumpama ini adalah satu usaha menyediakan ruang bersuara buat wanita muda dalam menyampaikan pandangan mereka berkenaan isu-isu masyarakat dan juga menjadi medium ilmu buat semua peserta," katanya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Mardhiyyah

Beliau juga menzahirkan kesyukuran kerana KWM telah berakhir dengan jayanya dengan menyaksikan kehadiran ribuan  peserta yang memenuhi stadium, termasuk jumlah tontonan siaran langsung di ‘Facebook’ mencecah 67 ribu.

“Kami selaku urusetia mengucapkan terima kasih kepada semua wakil agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik, pasukan penyelidik serta orang perseorangan pelbagai latar belakang yang hadir dan memberi sokongan kepada penganjuran konvensyen ini.

“Terima kasih juga kepada pihak media yang hadir membuat liputan," tambahnya.



Ujar beliau lagi, pembentangan kertas kerja berkenaan solusi permasalahan kos sara hidup, penambahbaikan sistem pendidikan negara, memperbetulkan naratif barat tentang hak wanita.

Katanya, ini termasuk cara menangani permasalahan kesihatan mental dan solusi jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak juga telah dibukukan dalam Kompilasi Kertas Kerja Konvensyen Wanita Muda se-Malaysia.

KWM merupakan program yang berkonsepkan simposium sulung pertama anjuran bersama Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita dan Perpaduan Nasional negeri serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: