Thursday, 6 February 2020

Imtiaz Berupaya Lahirkan Lebih Ramai Teknokrat

SHARE
Shaharizukirnain.

Oleh : Muhammad A Rahman

SETIU, 6 Februari – Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Islam berupaya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik seiring dengan pendidikan agama.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, pelajar Imtiaz merupakan harapan bagi rakyat Terengganu dalam mendepani cabaran semasa yang melingkari isu Islam.

Ini kerana katanya, terlalu banyak salah faham yang berlaku dalam kalangan masyarakat dan ia memerlukan golongan penghafal al-Quran sebagai pemimpin.

“Kita perlukan lebih ramai profesional teknokrat yang hafiz kerana al-Quran adalah benteng yang kuat dalam menghadapi cabaran umat luar sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pelancaran Angkasakan Kecemerlangan dan Pemantapan Target Pentaksiran Tingkatan tiga (PT 3) anjuran SM Imtiaz Yayasan Islam di sini hari ini.

Tambahnya lagi, penambahan peruntukan sektor pendidikan dalam Bajet 2020 baru-baru ini menunjukkan kerajaan negeri serius dan komited bagi menjulang pendidikan di Terengganu.

Selain itu, beliau juga berkata, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang dibina oleh kerajaan negeri bukanlah untuk bersaing dengan Imtiaz tetapi untuk melengkapi antara satu sama lain.

“SRIDI, SMIDI bukanlah saingan bagi Imtiaz tetapi untuk menggalakan pendidikan agama semua peringkat.

“Kita harap kedua-dua sekolah ini dapat memberi contoh terbaik kepada sekolah lain di luar sana,” jelas beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: