Sunday, 9 February 2020

Himpunan Daie: Tahniah Kerajaan Terengganu - Ustaz Azhar Idrus

SHARE
Ustaz Azhar (kiri) berceloteh menjawab satu soalan yang dikemukakan oleh Ustaz Kamaruzaman.


KUALA NERUS, 9 Februari - Daie Ummah, Ustaz Azhar Idrus mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Terengganu kerana menjayakan program Himpunan Daie Ummah Nusantara Terengganu Sejahtera (HDUNTS) di Dataran Drawbridge Hujung Tanjung Seberang Takir di sini semalam.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu semua telah bersusah payah menjayakan program Himpunan Daie Ummah Nusantara Terengganu Sejahtera.

"Terima kasih kepada rakyat Terengganu kerana kamu telah pun membanggakan pemimpin-pemimpin negeri Terengganu sebagai rakyat yang sukakan akhirat dengan berkumpulnya kita pada malam ini," katanya ketika berucap dalam Sesi Tazkirah Maghrib HDUNTS itu.

Antara rakyat Terengganu menyertai HDUNTS sambil mendengar Ustaz Azhar menjawab soalan dari Ustaz Kamaruzaman.

Kira-kira 50,000 umat Islam berhimpun di sini bagi mendengar dua orang Murabbi Ummah berucap termasuk Pendakwah Nusantara Dr H Abdul Somad dan Ustaz Azhar.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan pimpinan kerajaan negeri yang lain.

Manakala Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Ustaz Kamaruzaman Abdullah hadir sebagai moderator sesi tazkirah tersebut.

Ustaz Azhar seterusnya berharap kerajaan negeri akan mengatur banyak lagi program besar seumpama itu di masa akan datang.sebagai tanda rakyat Rakyat Terengganu suka berkumpul untuk bersatu padu.

Antara muslimat yang hadir di HDUNTS di Dataran Drawbridge Hujung Tanjung Seberang Takir, di sini.

"Ingatan kita (saya) kepada seluruh umat Islam walau apa parti sekali pun bersatulah atas nama Islam untuk menyelamatkan Islam.

"Orang tolong agama Allah, Dia tolong orang itu daripada segenap penjuru. Kita buat semua ini kerana Allah, kita duduk berkumpul dapat rahmat, para malaikat pun melebarkan sayap, haiwan pun minta ampun bagi kita," ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: