Thursday, 27 February 2020

‘Gi Mayang Jemaah, Boleh RM2’ - Shafizi

SHARE
Kanak-kanak yang hadir ke masjid.
Oleh: Mohd Izri

SETIU, 27 Februari - Peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ sesuai menggambarkan inisiatif Masjid As-Salam di Batu Rakit yang menggalakkan remaja dan kanak-kanak di kawasan itu menunaikan solat Subuh berjemaah.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, Kempen Solat Subuh berjemaah melalui pemberian insentif duit saku RM2 setiap seorang mendorong golongan itu hadir ke masjid sebelum ke sekolah setiap pagi.

“Cabaran bagi kita untuk bangun dari tidur adalah sangat berat. Jika ibu, bapa atau pasangan tidak bangunkan kita dari tidur, hampir pasti kita terlepas solat atau terlewat bangun.

“Jadi, atas sebab itu sebagai usaha untuk menggalakkan golongan muda datang ke masjid kita bagi duit belanja kepada pelajar sekolah pada hari Ahad sehingga Khamis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadah Solat di sini kelmarin.

Shafizi merasmikan Bulan Penghayatan Ibadah Solat.
Katanya lagi, idea untuk melaksanakan pemberian insentif hadir ketika berbincang bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.

Tambah beliau, selain pemberian wang saku kepada kanak-kanak, masjid itu turut menyediakan aktiviti lain seperti Kelas Mengaji Al-Quran secara percuma untuk 50 penduduk bermula 1 Mac.

“Ia akan dilaksanakan tiga kali seminggu dan program seterusnya kita akan hidupkan aktiviti memanah pada 14 Mac nanti.

“Semoga usaha ini dapat dicontohi masjid-masjid di kawasan lain dalam usaha mengimarahkan institusi perpaduan umat Islam itu,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: