Thursday, 20 February 2020

Gagal Temukan Jawapan Punca Murtad

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Gagal menemukan jawapan kepada kekeliruan serta tiada jawapan kepada persoalan mengenai hal ehwal Islam apabila ditanya atau dirujuk kepada seseorang menjadi antara punca segelintir individu itu murtad.

Pendakwah Bebas, Wong Wai Hung berkata, perkara berkenaan banyak terjadi dalam kalangan masyarakat masa kini dan perlu diberi perhatian.

"Ada dalam kalangan masyarakat kita, ketika berhadapan dengan golongan yang ada persoalan agama ini tidak begitu mengalu-alukan soalan daripada mereka.

"Apabila mereka bertanya soalan sedikit sensitif, lalu masyarakat kita secara umumnya menyindir mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika tampil  bersiaran langsung di TV Darul Iman menerusi slot Penawar Hati 'Indahnya Sebuah Kembara', “ baru-baru ini.


Firdaus Wong yang memilih untuk terlibat sepenuh masa didalam dunia dakwah selepas berhijrah memeluk Islam itu berkata kesilapan serta sikap masyarakat sedemikian menjadi faktor agama Islam tidak didalami sebaiknya.

"Apa salahnya jikalau kita sebagai muslim apabila ada saudara seagama yang mempunyai soalan yang sangat bagus tapi diri kita tidak mampu menjawab kenapa kita hendak menutup malu kita.

“Sebaliknya, tidak menjadi salah jika dibawa mereka yang mempunyai kekeliruan itu ditemukan kepada mereka yang lebih arif atau agamawan,” ujarnya.

Katanya, adalah menjadi peranan umat Islam pada masa kini untuk berdakwah dan tugas itu tidak akan selesai selagi mana masih hidup.

Sementara itu katanya, setiap mukmin disaran agar menggunakan bakat serta rezeki dikurniakan oleh Allah kepada jalan dakwah bagi menyeru masyarakat ke arah kebaikan mengikut acuan Islam.

“Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam menggunakan segala kemampuan dan rezeki yang telah Allah berikan.

“Justeru, umat Islam perlu berusaha menggunakan segala daya upaya berdakwah agar kebaikan dapat disampaikan kepada orang lain demi mencari keredhaan Allah,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: