Friday, 21 February 2020

Duyong Marina & Resort Catat Pendapatan RM9.1 Juta Bagi 2019

SHARE



KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Duyong Marina & Resort (DMR) yang merupakan salah satu hotel milik kerajaan negeri, berjaya mencatat perolehan sebanyak RM9.12 juta bagi tahun 2019 melebihi dari anggaran asal yang telah ditetapkan.

Pengurus Besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, sasaran awal yang ditetapkan adalah sebanyak RM9 juta namun DMR telah berjaya mencatatkan angka lebih memberangsangkan.

“Buat pertama kali dalam sejarah penubuhannya, DMR telah berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai untuk tahun 2019.

“DMR juga telah berjaya mencatatkan keuntungan tujuh bulan berturut-turut bermula Jun hingga Disember 2019 selain turut memperolehi keuntungan pada bulan Mac,” katanya.

Wan Mohd Faizul

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis High Tea Bersama Selebriti di Verandah Cafe, di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, pihaknya juga meletakkan sasaran lebih awal bagi tahun 2020 iaitu angka yang lebih tinggi berdasarkan pencapaian yang telah ditunjukkan pada tahun lalu.

“Melalui prestasi yang telah ditunjukkan pada tahun lalu, bagi tahun 2020 kita mensasarkan perolehan sebanyak RM10.8 juta.

“Untuk Januari 2020 sahaja, kita telah mencatatkan perolehan sebanyak RM650,000  berbanding Januari tahun lalu sebanyak RM350,000 sahaja,” katanya.

Wan Mohd Faizul berkata, pelbagai rangka telah dilakukan bagi mencapai sasaran untuk 2020.

Katanya, pakej-pakej baru akan diperkenalkan sepanjang 2020 untuk menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Dengan kemudahan yang ditawarkan, pelbagai pakej baru akan diperkenalkan antaranya pakej akikah selain dari pakej-pakej sedia ada seperti perkahwinan dalam taman,” katanya.

Tambahnya, ini termasuk penjenamaan semula dengan melaksanakan Hi-Tea Duyong Marina yang diadakan pada setiap jumaat bermula jam 2.30 petang sehingga 6.00 petang

"Berbeza dengan kali ini, Duyong Marina & Resort membawakan selebriti untuk menarik lebih ramai pengunjung dan harga pula lebih murah iaitu hanya RM30 untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: