Saturday, 8 February 2020

Demografi Faktor Masjid Jambu Bongkok Dibesarkan - MB Terengganu

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
MARANG, 8 Februari - Kerajaan negeri memperbesar Masjid Jambu Bongkok kerana faktor demografi dan laluan strategik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara faktor  yang menjurus kepada pembesaran masjid tersebut adalah demografi penduduk yang meningkat jumlahnya sejajar dengan perubahan masa.

Selain itu katanya, kedudukan masjid  yang terletak di tepi jalan laluan utama menjadikannya antara tempat persinggahan pilihan musafir menunaikan solat.


“Ini turut ditambah dengan kehadiran pengunjung ke Kampung Jambu Bongkok dari semasa ke semasa sama ada daripada pengunjung tempatan mahu pun luar negeri kerana landskap dan pantainya yang menarik,” jelas beliau.

Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Masjid Jambu Bongkok di sini semalam.

Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mencemar duli berangkat merasmikan masjid tersebut diiringi Menteri Besar dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja negeri, Syeikh Harun Syeikh Ismail.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.


Jemaah yang hadir di Masjid Jambu Bongkok Marang, sempena Perasmian Masjid tersebut semalam.
Mengimbau sejarah masjid itu, Dr Ahmad Samsuri berkata, masjid tersebut terletak dalam Mukim Merchang, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan dan Parlimen Marang.

Katanya, masjid ini mulanya dibina oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1963 di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Puan Seri Abdul Kadir yang berkapasiti 500 jemaah.

Menurut beliau, pada tahun 2017, kerajaan negeri telah meluluskan pembangunan semula Masjid Kampung Jambu Bongkok dengan peruntukan sebanyak RM7.1 juta.

“Masjid yang tersergam indah dengan keluasan kira-kira 1,300 meter persegi ini mampu menampung sehingga 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa,” jelasnya.

Dalam pada itu tambahnya, pada 4 Februari tahun lalu, masjid ini secara rasminya siap dibina dan Jabatan Kerja Raya Marang membuat penyerahan kepada pihak JHEAT.

Sementara itu katanya, kerajaan juga berhasrat menjadikan beberapa masjid sebagai model yang boleh dijadikan contoh kepada masjid-masjid lain.

Tujuannya adalah menjadikan masjid  sebagai satu institusi informasi Islam yang membolehkan umat Islam dan manusia menangani, memahami, meyakini, mencintai dan menghormati Islam melalui masjid yang makmur.

Di samping itu jelasnya, kerajaan juga menggerakkan masjid sebagai pusat ilmu dan pembangunan insan bersepadu serta sebagai pusat kecemerlangan yang mampu menyalurkan pelbagai nilai mulia kepada masyarakat.

“Ia juga membudayakan kaedah pembelajaran sepanjang hayat sebagai sebahagian dari cara hidup masyarakat negeri Terengganu,” ujarnya.

Justeru katanya, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid seharusnya mengambil pendekatan proaktif bagi mengurus dan mengimarahkan masjid sebagaimana yang dilakukan di zaman Rasulullah SAW.

“Dalam memantapkan kesepaduan dan kemajuan ummah kita perlu melihat dalam pespektif yang lebih luas.

“Apa yang pasti kejayaan membangunkan sebuah negeri yang masyarakatnya majmuk tentunya memerlukan sokongan, kerjasama dan komitmen daripada seluruh lapisan masyarakat,” jelasnya lagi.

Umat Islam juga katanya, wajib bersatu apa lagi dalam keadaan sekarang di mana umat Islam ditindas di serata dunia.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: