Thursday, 27 February 2020

Bulan Penghayatan Ibadat Solat Didik Rakyat

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 27 Februari- Bulan Penghayatan Ibadat Solat yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan mendidik rakyat agar mementingkan solat yang merupakan tiang agama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebagai tanggungjawab kerajaan yang memerintah pihaknya mengambil inisiatif mengadakannya pada setiap bulan Rejab.

 “Bukan menganggap bulan lain tidak penting dan tidak perlu penghayatan ibadat solat tetapi kita mahu mengingatkan kepada seluruh rakyat Terengganu agar mengingati sejarah kefarduan solat.

“Diwaktu yang sama adalah untuk mendidik mereka yang beragama Islam agar mengambil segala intipati (kebaikan) daripada ibadat solat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadat Solat Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Ampuan Intan Zaharah, baru-baru ini.

Perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Usaha berkenaan juga menurutnya adalah bagi memastikan rakyat mendapat kesedaran serta pengajaran agar menjauhi perkara keji dan mungkar serta meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya mendirikan solat lima waktu secara berjemaah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: