Thursday, 16 January 2020

Virus Influenza : Atlet Negeri Disaran Ambil Langkah Berjaga-Jaga

SHARE


Oleh: Wan Luqman Hakim

HULU TERENGGANU, 16 Januari - Para atlet negeri disarankan mengambil langkah berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti luar bagi menggelakkan terkena jangkitan virus influenza.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sehingga hari belum ada kes yang melibatkan para atlet di Terengganu namun langkah-langkah awal perlu diambil bagi mengelakkannya berlaku.

Jelasnya, langkah pencegahan ini turut ditekankan kepada atlet yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada Julai ini.

"Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri bahawa virus Influenza di Terengganu masih dalam terkawal.

"Pihak jabatan kesihatan juga telah menasihatkan kepada semua rakyat agar berhati-hati dan jangan terlalu obses dengan apa yang berlaku sehingga menimbulkan suasana panik.

"Saya turut mendapat maklumat dikebanyakan klinik-klinik kesihatan terlalu ramai pergi ke sana untuk mendapatkan vaksin sehingga stoknya habis akibat kita terlalu obses dengan apa yang berlaku," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Faedah Pengurusan Jenazah dan Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumah keluarga arwah Syamirul Aiman Bidin di Kampung Kua, Ajil di sini hari ini.
 
Tambahnya, orang ramai juga turut dinasihatkan mengambil langkah pencegahan awal dan menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan serta patuh kepada etika batuk dan bersin.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu  merekodkan dua  kluster penyakit seperti influenza (ILI) dengan seramai sembilan individu dijangkiti influenza dalam kluster itu pada 5 dan 7 Januari 2020 di daerah Setiu.

Justeru itu, masyarakat juga dinasihatkan untuk segera ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan.

Manakala bagi golongan berisiko dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik swasta.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: