Thursday, 23 January 2020

Tourism Terengganu-TV AlHijrah Ganding Bahu Promosi Negeri

SHARE
Ariffin bersama Ab. Rasid (kiri) ketika ditemu bual dalam program Assalamualaikum.
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) menjalinkan kerjasama bersama stesen televisyen Islamik terkemuka negara, TV AlHijrah dalam mempergiatkan promosi pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menyifatkan langkah tersebut sebagai salah satu usaha untuk berdiri setanding negeri-negeri lain yang kini menjadi contoh kepada Terengganu dalam bidang pelancongan.

Beliau turut menyeru anak-anak negeri yang berada di luar Terengganu atau luar negara dapat bersama-sama mempromosikan Terengganu ke persada antarabangsa.

“Negeri Terengganu sememangnya terkenal dengan seni budaya dan krafnya seperti batik, songket, tembaga dan lain-lain. Jadi bagi menghimpunkannya di satu tempat yang senang dikunjungi pelancong, kerajaan negeri akan mewujudkan satu produk baharu iaitu Perkampungan Budaya Terengganu.

Ariffin menerima cenderahati daripada Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.
“Kami mempromosikan orang ramai untuk datang ke Terengganu yang mana kami juga memiliki ikonik baharu iaitu jambatan angkat atau drawbridge yang menjadi tarikan pengunjung sejak ia mula dibuka Ogos lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung dalam program Assalamualaikum di stesen TV AlHijrah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut serta dalam temu bual tersebut ialah Pengarah Tourism Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Tambah Ariffin, Perkampungan Budaya Terengganu akan ditempatkan di Muzium Negeri Terengganu dengan mengetengahkan pelbagai seni, budaya dan warisan masyarakat tempatan.

“Kami telah mengumpulkan rumah Melayu tradisional Terengganu dan di sana akan dikumpulkan budaya serta seni dari seluruh daerah dalam negeri,” katanya.

Program promosi tersebut turut disertai wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), diketuai pengarahnya, Mohd Soud Said yang melawat teknologi dan pengurusan TV AlHIjrah dalam usaha menaik taraf mutu penyampaian maklumat negeri Terengganu.  

Pengurusan UPDI yang hadir turut ambil peluang mempelajari teknologi TV AlHijrah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: