Wednesday, 22 January 2020

Tilawah Al-Quran Jadi Acara Tahunan Sejak 1960

SHARE


Menteri Besar berucap ketika merasmikan Tilawah dan Manghafaz Al-Quran Kali Ke-63 Peringkat Negeri  Terengganu di Kota Putera Square, Besut.
Besut, 22 Januari - Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran merupakan acara tahunan yang dianjurkan sejak 63 tahun lalu dan buat julung kalinya diadakan tahun 1960 di Padang Paya Bunga, Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia telah diusahakan oleh Menteri Besar Terengganu pada masa itu, Mohd Daud Abdul Samad yang berasal dari Besut sebagai menyahut hasrat Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mengadakan majlis seumpama itu.

Katanya, sejak dari itu sehingga kini, Terengganu menjadi salah sebuah negeri yang mencatat sejarah penting dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan.

Peserta Ketiga mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di malam pertama Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kali Ke-63 di Kota Putera Square, Besut. 

“Antara yang pernah menjadi Johan Qari di Peringkat Kebangsaan ialah Haji Mohd Awang Teh, Haji Daud Che Man, dan Haji Mohd Tarmizi Ali.

“Manakala yang pernah menjadi Johan Qariah Peringkat Kebangsaan pula ialah Dato’ Hajjah Rogayah Sulong, Hajjah Aminah Umar, Hajjah Siah @ Embak Mohd Amin, Hajjah Sapiah Mohd dan Hajjah Masnah Awang.

“Bahkan pernah berlaku kedua-dua peserta Terengganu iaitu Haji Mohd Awang Teh dan Hajjah Siah @ Embak Mohd Amin masing-masing muncul sebagai Johan Qari dan Qariah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1986,” jelasnya.

Kehadiran malam pertama Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Kali Ke-63 Peringkat Negeri Terengganu  Di Kota Putera Square, Besut.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan  Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Kali Ke-63 Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Merdeka Kota Putera Square, Kampung Raja di sini semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

ADUN Rhu Rendang itu berkata, pihak kerajaan amat komited untuk memartabatkan program berkaitan al-Quran di negeri ini ke arah melahirkan generasi al-Quran dan bertaqwa kepada Allah.

"Sehubungan itu kerajaan negeri melalui Bajet 2020 telah meneruskan peruntukan Skim Hafaz Al-Quran dewasa terbuka yang dijalankan sejak tahun 1982 lagi," ujarnya.

Di samping itu katanya, sebanyak RM7.85 juta diperuntukkan di bawah Skim Mus’ab bin Umair sebagai pembayaran elaun guru tahfiz Al-Quran manakala sebanyak RM5 juta lagi diperuntukkan untuk pembinaan Kolej Universiti Al-Quran.

Menurut beliau, kerajaan juga akan mewujudkan Pengajian Tahfiz Mandarin dan melancarkan Program Kembara Menghayati Al-Quran bersama Dai.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: