Tuesday, 21 January 2020

Penubuhan MPKKP - MPKK Negeri Terus Berfungsi

SHARE
Dr. Azman Ibrahim.
SETIU, 21 Januari - Kerajaan Terengganu menyatakan tidak menerima pemakluman secara rasmi tentang penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang menerima watikah pelantikan bagi negeri Terengganu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Insdustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan, pendirian kerajaan negeri adalah dalam apa keadaan sekalipun kepentingan rakyat perlu menjadi keutamaan.

“Kerajaan negeri tidak terjejas dengan penubuhan ini. Kita harap mereka boleh sama-sama menyumbang, bekerja demi kelangsungan kepimpinan di peringkat kampung. Saya ucapkan selamat bertugas dan selamat maju jaya.

“Alhamdulillah, negeri Terengganu dari segi prestasi dan kerja MPKK, kita antara yang terbaik dalam negara dan juga paling awal menyiapkan susunan MPKK menjelang 1 Julai 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas Majlis Ramah Mesra dan Dialog Hubungan Antara Kaum bersama Exco di Kampung Renek, di sini, semalam.

Jelasnya, kerajaan negeri berusaha mengekalkan suasana aman tenteram dan harmoni dalam masyarakat sedaya mungkin.

Dr. Azman, Exco Kebajikan negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir bersama komuniti Siam di Kampung Renek.
“Setakat ini, kita mengambil sikap bahawa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang telah ditubuhkan secara sah supaya teruskan fungsi kita seperti biasa untuk berkhidmat kepada rakyat berdasarkan peruntukan dan bidang kuasa yang diberikan kepada negeri.

“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet Menteri pada 27 Jun 2018, telah memaklumkan bahawa pelantikan MPKK adalah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, kewujudan dua pentadbir memang secara tidak langsung akan mewujudkan dua pemandu dalam satu kenderaan.

“Dalam apa keadaan sekalipun, kepentingan rakyat adalah keutamaan kita. Kita harap, walaupun wujudnya dua pemandu, tidak ada satu persaingan tidak sihat yang akhirnya akan menjejaskan kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri berdasarkan bidang kuasa kita, melaksanakan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita dengan sebaiknya. MPKKP ini adalah di luar bidang kuasa kita, terpulang kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagaimana untuk menguruskan isu ini dengan cara yang paling baik dan harmoni,” katanya.

Dr. Azman turut meletakkan harapan agar isu itu tidak menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

“Masyarakat Terengganu sebenarnya sangat matang dan kita sudah isytiharkan selepas pertukaran kerajaan negeri lagi, bahawa semua yang ada di kampung-kampung adalah rakyat kita dan perlu disantuni bersama. Kemudahan yang ada dalam kampung, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan negeri adalah kemudahan milik rakyat dan terbuka untuk digunakan.

“Jadi, sedaya yang mampu di pihak kerajaan negeri kita telah lakukan yang terbaik untuk mengekalkan kedamaian dalam kampung. Cuma, kita mengharapkan pihak KPLB dan MPKKP mempunyai aspirasi yang sama dengan kita,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: