Thursday, 16 January 2020

Tetapkan SOP Baru, Dalam Muara Sungai - MB Terengganu

SHARE


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 15 Januari - Kerajaan Terengganu bersedia menetapkan prosedur operasi standard (SOP)  baharu bagi memulihkan keadaan beberapa sungai  di negeri ini, terutama di Sungai Merang, Sungai Dungun dan Sungai Merchang yang semakin cetek.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhar berkata, pihaknya ada berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu agar menetapkan SOP baharu kepada syarikat pengorek pasir.

Katanya, pendekatan itu perlu diambil  supaya dapat melakukan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan muara dengan kadar segera bagi mengelak keadaan lebih kritikal.


“Proses sama perlu  `cut-short’ sekiranya berlaku masalah muara cetek, langkah penyelesaiannya  terus boleh diambil tanpa perlu masuk mesyuarat yang panjang dan mengikut prosedur tertentu.

“Anggaran kos untuk melaksanakan kerja-kerja itu antara RM200,000 hingga RM500,000 bagi setiap sungai ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual pemberita dalam sidang media sebaik sahaja selesai Mesyuarat Exco Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad Samsuri turut memberitahu pada masa sama, untuk jangka masa panjang dan langkah terbaik perlu  membina  benteng pemecah ombak, namun ia memerlukan kos yang sangat besar iaitu di antara RM150 juta sehingga RM200 juta.


“Perkara itu memerlukan perhatian yang serius daripada Kerajaan Pusat dan saya sendiri mengambil inisiatif lain untuk memaklumkan kepada jabatan berkaitan agar dapat membantu kerajaan negeri menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu juga, keperluan “headland” di Dungun yang diputuskan dalam mesyuarat ECER baru-baru ini sedang menunggu untuk dilaksanakan sebagai langkah mengelakkan hakisan,”tambahnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: