Sunday, 19 January 2020

'Terima Kasih Rakyat Malaysia'- Zamzuri

SHARE
Zamzuri (kanan) menerima sumbangan barangan keperluan yang disampaikan Hanafiah dalam kunjungan, semalam.


SETIU, 19 Januari- “Terima kasih semua, memang prihatinlah rakyat Malaysia ini.”

Begitu kata Zamzuri Ahmad, 38, bapa kepada Muhammad Zhafran Amsyar, 1, yang menghidap penyakit uluran atau angin pasang (Hernia), masalah hati kronik (Biliary Atresia), jantung berlubang dan turut mengalami masalah hempedu.

Jelasnya, selepas tular cerita tentang anak sulungnya di media sosial dan media perdana, beliau tidak putus-putus menerima panggilan daripada masyarakat yang ingin membantu.

“Saya hendak kumpul kos sebanyak RM250,000 memang tidak mampu, hanya mengharapkan jasa baik orang ramai yang membantu.

“Ramai yang telefon, daripada pelbagai bangsa bertanya keadaan Amsyar dan menyumbang, rakyat Malaysia memang betul-betul prihatin. Saya terharu menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat bersama wakil daripada Tabung Darul Iman (TDI) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kediamannya di Kampung Buluh Hilir, di sini, semalam.

Zamzuri turut mengambil kesempatan memperbetulkan salah faham tentang statusnya yang dikatakan telah berhenti kerja dengan menyatakan, dia kini masih berkerja di sebuah kilang di Kampung Saujana, Setiu.

“Saya masih bekerja, tetapi sering bercuti untuk membawa Amsyar  mendapatkan rawatan.

"Alhamdulillah, majikan fahamlah apabila kita telefon maklumkan, dia minta saya utamakan anak dahulu,” jelasnya.

Dalam kunjungan tersebut, kerajaan negeri memutuskan untuk membantu keluarga berkenaan dengan melancarkan tabung bantuan melalui Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Hanafiah memaklumkan, adik Amsyar akan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam masa terdekat untuk mengesahkan tarikh pembedahannya.

“JKM juga telah bersetuju menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM350 bermula Januari ini kepada adik Amsyar disamping beberapa barangan keperluan segera.

“Kita juga akan lihat berapa jumlah kutipan keseluruhan tabung-tabung yang dilancarkan dan TDI akan berusaha untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: