Wednesday, 1 January 2020

Terengganu Gondol Empat Anugerah Pelancongan

SHARE

KUALA NERUS, 1 Januari - Terengganu meraih anugerah melalui empat kategori dalam dua anugerah pelancongan berprestij tahun lalu termasuk Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (Malaysia Council Gold Awards) dan Anugerah Pelancongan Tertinggi Dunia (World Top Tourism Awards).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, bagi Anugerah Emas Majlis Pelancongan, sebanyak tiga event terpilih termasuk Drawbridge Terengganu dinobatkan sebagai Ikon Pelancongan Baru Terbaik.

Sementara program candat sotong diisytiharkan sebagai Program Pelancongan Terbaik manakala Mimpi Perhentian dinilai sebagai Resort Empat Bintang Terbaik.

Dalam pada itu katanya, Summer Bay Lang Tengah Beach Resort dinobatkan sebagai Beach Resort paling popular dan tertinggi untuk Anugerah Pelancongan Tertinggi Dunia.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Tahun Baharu dan Pelancaran Melawat Malaysia 2020 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman di Marina Duyong & Resort di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato' Haji Azhar Abdul Hamid, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor.

Sementara itu, kerajaan negeri menyenaraikan sebanyak 26 acara utama dalam Kalendar Aktiviti Pelancongan Negeri Terengganu.

Katanya, ini termasuk Himpunan Anak Muda "PENDIKIR" 2020 pada 14 hingga 15 Februari di Kuala Nerus, TSG Shimano Gatehan Persahabatan 2020 di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pada 22 Februari.

Minggu Basikal Terengganu 2020 di Dataran Batu Buruk Kuala Terengganu pada 27 hingga 29 Mac, Karnival Candat Sotong 2020 di Pulau Kapas dan Marang pada 2 hingga 5 April, Kejohanan Antarabangsa Paragliding Terengganu 2020 di Kota Putera Paragliding Park, Besut pada 9 hingga 11 April dan lain-lain.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: