Saturday, 25 January 2020

Terengganu FC Garang Tundukkan MU 2-0

SHARE
Jaringan pertama TFC dalam perlawanan persahabatan kelab antarabangsa di SSINS.

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Walaupun turun tanpa kelibat Dominique Da Sylva dan Sanjar Shaakmedov, Terengganu Football Club (TFC) tetap berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas kelab Indonesia, Madura United (MU) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) semalam.

Perlawanan berlangsung sengit sejak wisel permainan dibunyikan dengan serangan bersilih ganti daripada kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun setiap peluang terhidang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan oleh pasukan bimbingan Nafuzi Zain dan Rahmad Darmawan.

Situasi tersebut memaksa kedua-dua pasukan menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 0-0.

Deretan peluang hadir, namun gagal dimanfaatkan.

Bersambung babak kedua, TFC dilihat lebih garang mengasak kubu MU, gerakan menarik  dijana dari kiri dan kanan pintu gol MU menerusi Faris Ramli serta D Saarvindran.

Hasilnya, pada minit ke-60, gerakan lincah Faris memaksa pertahanan Madura menjatuhkan pemain itu di luar kotak penalti.

Muhd Azalinullah Mohd Alias yang ditugaskan mengambil sepakan percuma akhirnya berjaya meledak gol pertama TFC dengan lecongan menarik yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol MU, Muhammad Ridho.

Tersentak dengan jaringan itu, MU mempertingkatkan corak serangan namun benteng pertahanan TFC yang dikawal Babacar Diallo tenang mengawal keadaan.

Menjelang penghujung minit perlawanan, kemasukkan Lee Tuck dan Syafik Ismail menambah variasi serangan TFC.

Deretan peluang keemasan hadir namun ketiadaan Dominique Da Sylva jelas menghampakan 7,600 penyokong TFC yang memenuhi stadium sejak 7.30 malam.
Kemunculan Lee Tuck mengembirakan penyokong TFC.

Perlawanan hampir berkesudahan 1-0, namun sepakan sudut lewat yang diperolehi Terengganu merubah keadaan.

Sepakan penjuru Lee Tuck, ditanduk cantik ke sudut kanan gawang Madura oleh Nasrullah Hanif untuk menamatkan saingan 2-0 memihak TFC.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: