Wednesday, 1 January 2020

Taska Bagi Kakitangan Wisma Darul Iman Terengganu Mula Operasi Hari Ini

SHARE

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di tempat kerja bagi penjawat awam di Wisma Darul Iman (WDI) mula beroperasi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Taska Permata Wisma Darul Iman di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang diubahsuai daripada kafe wisma berkenaan melibatkan kos RM300,000.


“Ini juga merupakan salah satu usaha kita dalam menunaikan Manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu iaitu membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Katanya, setakat ini pengambilan di taska tersebut melibatkan 73 kanak-kanak berumur seawal tiga bulan hingga empat tahun dengan 16 orang tenaga pengajar.


Hanafiah berkata, dengan adanya taska tersebut secara tidak langsung memudahkan kakitangan WDI sekali gus merasa tenang untuk bekerja kerana tidak perlu terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.

"Kewujudan pusat asuhan dalaman juga membolehkan sistem pemantauan dijalankan dengan baik dan selamat, selain mengurangkan risiko keselamatan kanak-kanak yang ditinggalkan kepada pengasuh sepanjang ibu bapa mereka keluar bekerja,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: