Monday, 20 January 2020

Skuad AMAR Marang Optimis Sifarkan Tidak Solat Jumaat

SHARE



Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 19 Januari - Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR) sedaya upaya berusaha menangani pelbagai kesalahan jenayah syariah di daerah itu terutama membabitkan perbuatan tidak menunaikan solat Jumaat.

Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, skuad itu telahpun membuat hebahan dan kesedaran kepada segenap masyarakat tentang keseriusan kerajaan dalam menangani isu itu.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dan berkat kerjasama daripada semua pihak kita dimaklumkan sukarelawan muslimat bahawa  sudah tidak kelihatan golongan lelaki, terutama remaja lepak ketika jemaah masjid sedang menunaikan Solat Jumaat,  

"Bagaimanapun, pihak skuad akan terus   mengadakan  pemantauan  di lokasi yang menjadi kawasan lepak iaitu di kawasan pantai, bangunan kedai dan pondok rehat berdekatan masjid supaya perkara sama tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas Operasi Pemantauan Gejala Ponteng Solat Jumaat di Masjid Kampung Kelulut dekat sini, baru-baru ini.

Operasi tersebut turut mendapat kepercayaan dan kerjasama yang baik daripada pengurusan Majlis Kampung Kelulut (MPKK) dan pengerusi-pengerusi masjid serta AJK masjid di sekitar daerah Marang.  

"Kita juga menyeru supaya orang ramai atau masyarakat setempat yang prihatin supaya dapat membuat aduan dan memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan syariah yang boleh diperuntukkan dibawah hukuman takzir di negeri Terengganu.

"InshaAllah kita akan perhebatkan lagi program-program dibawah seliaan skuad kita dengan program-program penerangan berkaitan kesalahan-kesalahan syariah kepada masyarakat," tambahnya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat di luar sana sama-sama mengambil perhatian kerana jika disabitkan kesalahan si pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 kerana tidak menunaikan solat Jumaat, yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun jika bersabit kesalahan
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: