Thursday, 16 January 2020

Sedia Bantu Waris Arwah Syamiru - Wan Sukairi

SHARE
Wan Sukairi menyerahkan Faedah Pengurusan Jenazah dan Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)  kepada waris arwah Syamiru di rumahnya di Kampung Kua Ajil.



HULU TERENGGANU, 16 Januari - Kerajaan negeri sedia melihat serta menimbang bentuk-bentuk sumbangan kepada waris bekas pemain hoki Terengganu, arwah Syamiru Aiman Bidin @ Pok Yu yang telah meninggal dunia akibat kanser baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara ini akan dibawa untuk perbincangan semasa mesyuarat mingguan EXCO kerajaan negeri  dalam tempoh yang terdekat.

"Kita masih belum buat keputusan apakah bentuk sumbangan yang boleh disalurkan untuk waris arwah tetapi ia akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO tentang apa dan bagaimana untuk membantu mereka.

"Yang pasti kita akan buat sesuatu bagi memastikan waris keluarga mendapat sesuatu sebagai mengenang jasa arwah dalam sukan hoki yang banyak menyumbangkan pingat kepada negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Faedah Pengurusan Jenazah dan Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumah keluarga arwah di Kampung Kua, Ajil di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Sukairi turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 faedah pengurusan jenazah dan pencen Penakat PERKESO kepada waris,  Badrul Hisham Bidin, 40 yang merupakan abang kepada arwah.

Bekas pemain tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT),  yang baharu berusia 27 meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pernah menyarung jersi  THT dari 2013 sehingga 2016 dan muncul juara liga.

Berdasarkan rekod, pemain tengah lincah itu pernah bersama dengan pasukan pasukan Sukma Terengganu pada 2014 selain THT bermula pada 2013 hingga 2016, arwah pernah beraksi bersama pemain import dari Korea Selatan, Seo Jong Ho yang kini menjadi penolong jurulatih THT.

Arwah juga pernah beraksi bersama pemain adik-beradik, Fitri dan Faizal Saari, Shahrun Nabil, Muhammad Firhan Ashaari, Ismail Abu dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil bawah kendalian jurulatih Sarjit Sing.

Arwah Syamiru pernah membantu THT mencipta sejarah muncul juara Liga Hoki Malaysia TNB (TNB-MHL) pada 2014 buat pertama selepas mencatat kemenangan besar 9-2 ke atas Kelab Hoki Sapura pada aksi akhir liga berkenaan di Stadium Hoki batu Buruk Kuala Terengganu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: