Thursday, 16 January 2020

Sarawak Iktiraf Kepakaran Pusat Latihan Perkayuan Terengganu

SHARE
Muhyidin Abdul Rashid.

Oleh : Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Sarawak melalui Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) telah mengiktiraf kepakaran Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) apabila melantik TTITC sebagai konsultan latihan kepada pekerja sektor berkaitan sejak tahun 2016.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TTITC, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pengiktirafan kepada sebuah institusi yang dibina sejak sekian lama itu pastinya melonjakkan lagi prestasi dan kecemerlangan TTITC.

“TTITC mendapat Anugerah Lima Bintang Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dalam beberapa program latihan sejak tempoh pengauditan pada tahun 2013 sehingga sekarang.

“Pada tahun 2015 TTITC berjaya membuka program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) tahap empat iaitu bidang perabot dan Program Kemahiran tahap tujuh telah berjaya di bangunkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Apresiasi sempena persaraan Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) TTITC di Hotel Paya Bunga baru-baru ini.

Katanya lagi, TTITC juga sentiasa meneroka peluang-peluang serta idea baharu bagi merancakkan lagi industri perkayuan di Malaysia.

“Pada tahun 2016 TTITC telah mula membuka laluan kepada latihan penghasilan produk berasaskan buluh.

“Ini juga sesuatu yang mendahului zaman, jika tahun lalu seorang menteri baru mahu mempromosikan buluh tetapi TTITC lebih awal mempromosikan buluh dan ini akan menjadi model kepada institusi di tempat-tempat yang lain,” katanya.

Tambahnya, kerjasama yang baik antara setiap institusi pendidikan membuka lebih banyak peluang untuk TTITC meningkatkan kepakaran graduan.

“Seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) memberi laluan kepada bakal graduan untuk menjalani latihan industri dalam beberapa bidang kemahiran berkaitan.

“Insya-Allah, pada tahun 2020 ini TTITC akan menawarkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM ),” ujarnya lagi.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: