Tuesday, 7 January 2020

Pertahan Trofi Sumbangsih, Piala TNB Sasaran Awal Terengganu

SHARE
Pasukan THT bersama Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Terengganu Hockey Team (THT) meletakkan sasaran awal untuk mempertahankan Piala Sumbangsih dan Trofi TNB yang dimenangi tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas berbincang dengan pengurusan THT dan melihat kesungguhan para pemain, beliau yakin target itu akan berjaya dicapai.

“Ada dua kejohanan besar yang akan disertai, pertama TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) yang dijuarai UniKL tahun lalu dan kedua, Piala TNB yang kita muncul juara tahun lalu, dan sudah tentu tahun ini kita berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan itu termasuk Piala Sumbangsih.

“Jika diikutkan semua kejohanan kita mahu letakkan sebagai juara termasuk kejuaraan TNB MHL, namun kita berhasrat untuk pertahan apa yang dimenangi tahun lalu dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo dan Jersi Pasukan serta Memperkenalkan Pemain THT dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), di Hotel Permai semalam.
Jersi baharu pasukan THT dan TLHT.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Penaung Persatuan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau turut berbangga dengan pencapaian THT sejak ia mula ditubuhkan lebih-lebih lagi ramai anak jati Terengganu yang berada dalam skuad itu.

Ujarnya, tajaan sebanyak RM2.5 juta daripada kerajaan negeri dan syarikat-syarikat besar lain pastinya merancakkan lagi perkembangan pasukan.

“Musim 2020 kita mempertaruhkan 10 pemain tempatan daripada kesemua 22 pemain dalam THT, gandingan pemain tempatan dan luar ini mampu melonjakkan prestasi pasukan,” tambah beliau yang teruja dengan kehadiran Ketua Jurulatih THT yang baharu, Dhaarma Raj Abdullah.

THT akan memulakan musim 2020 pada 10 Januari nanti apabila akan berhadapan dengan juara MHL 2019, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

TLHT turut tidak ketinggalan dalam menghadiahkan kejayaan buat rakyat Terengganu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: