Tuesday, 28 January 2020

Persembahan Akrobatik Dari China, MBKT Tak Terima Permohonan Permit

SHARE

KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak pernah menerima sebarang permohonan permit untuk mengadakan persembahan akrobatik dari negara China daripada pihak pengurusan pusat membeli belah Kuala Terengganu City Center (KTCC) Mall.

Persembahan akrobatik itu dijadualkan berlangsung selama dua hari di pusat membeli belah baharu tersebut bermula semalam.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok berkata, pihaknya kesal dengan tindakan KTCC Mall kerana telah mengadakan persembahan tersebut semalam, sebelum memohon dan mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.

"Mereka sepatutnya perlu mengemukakan permohonan untuk permit terlebih dahulu kepada kita sebelum membuat apa-apa persembahan di pusat belah belah itu.

“Kita telah memberikan amaran kepada pihak pengurusan KTCC Mall agar tidak meneruskan persembahan akrobatik tersebut untuk hari ini yang dijadualkan berlangsung pukul 3 petang dan 8.30 malam ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Shahidan berkata, MBKT telah berhubung dengan pihak pengurusan KTCC Mall berhubung perkara berkenaan dan mereka akur dengan keputusan tersebut.

“Mereka juga telah mengeluarkan notis untuk membatalkan persembahan pada hari ini di laman facebook rasmi KTCC Mall,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: