Thursday, 2 January 2020

Perokok Degil Terima Padah

SHARE


Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 2 Januari- Seramai 13 orang perokok yang masih tidak mengendahkan larangan merokok di tempat makan dalam daerah ini menerima padah apabila masing-masing diberi Notis Memerintahkan Kehadiran Di Mahkamah bagi kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Setiap penerima notis bakal dikenakan kompaun RM 250 setiap seorang, manakala jika didakwa dan disabit kesalahan dalam mahkamah, setiap daripada mereka berdepan denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik menasihati orang ramai agar tidak merokok ditempat yang telah diwartakan.

“Kita menasihati orang ramai agar mematuhi arahan dan peraturan yang telah ditetapkan dan ini juga boleh dijadikan sebagai langkah awal untuk mendidik kita semua agar berhenti merokok,” ujarnya kepada pemberita.

Menurut Wan Hapandi, empat pasukan penguatkuasa dari Unit Inspektorat Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dengan kekuatan sepuluh Pegawai Berkuasa dan lima pembantu dengan diiringi lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan Balai Polis Paka terlibat dengan operasi tersebut semalam.

Katanya, sebanyak 65 tempat makan terdiri daripada warung dan restoran sekitar Bandar Dungun dan Paka diperiksa.

“Pejabat Kesihatan Daerah Dungun telah melaksanakan beberapa siri penguatkuasaan berbentuk teguran dan nasihat di semua premis makanan dalam daerah ini semenjak setahun yang lalu,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: