Wednesday, 1 January 2020

Pemilik Haiwan Ternakan Bakal Berdepan Tindakan Mahkamah

SHARE


HULU TERENGGANU, 1 Januari - Pemilik haiwan ternakan berisiko diseret ke mahkamah jika masih lagi berdegil dan sengaja membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di jalan raya dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) mengikut Kesalahan-Kesalahan mengenai Kesihatan, Keselamatan, Kemudahan, Kesopanan dan Akhlak Awam (Akta 574) Kanun Keseksaan bermula tahun ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya terpaksa menggunakan ketegasan kali ini kerana masih ramai tidak serik meskipun sudah dikenakan kompaun dan pelbagai usaha untuk menyedarkan mereka termasuk mengadakan kempen, menampal poster peringatan dan lain-lain masih tidak berhasil.

Jelasnya, bermula 1 Januari, pemilik ternakan yang dikesan masih berdegil membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran akan dicari hingga ke rumah untuk diheret ke muka pengadilan.

Katanya lagi, mereka yang gagal mematuhi arahan ini akan didakwa mengikut Seksyen 268 atau 289 akta itu kerana mendatangkan mudarat awam atau kecuaian berkenaan haiwan yang mana  sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara enam bulan dan didenda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan semua agensi akan adakan operasi-operasi yang lebih tegas di mana kita akan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tinggi hukumannya  dengan menggunakan Seksyen 289 Kanun Keseksaan iaitu hukuman bagi kecuaian dalam mengendalikan haiwan di mana selepas ini pemilik-pemilik ini akan dikesan hingga ke rumah dan akan dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan, diberikan notis dan juga kompaun.

“Kita harapkan selepas daripada ini, dengan adanya operasi dan tindakan yang lebih tegas ini, diharapkan kemalangan jalan raya yang melibatkan haiwan merayau di daerah Hulu Terengganu ini dapat kita kurangi dan dapat mengosongkan  terus laporan-laporan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Kolaborasi Ops Bersepadu Tangkapan Haiwan Berkeliaran LPT2, Daerah Hulu Terengganu, semalam.




Turut hadir, Pengarah Wilayah Timur Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Khairul Anuar Muhari dan Pengurus Operasi LPT2, Patil Humul Harun.

Tambahnya, operasi ini dijalankan ekoran laporan-laporan berkaitan dengan kemalangan jalan raya sejak kebelakangan ini yang melibatkan  haiwan merayau, haiwan ternakan  di kawasan lebuh raya, di jalan-jalan persekutuan, di jalan-jalan negeri dan jalan-jalan bandaran di daerah Hulu Terengganu telah meningkat sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan laporan yang diterima bermula Januari sehingga Disember, sebanyak 64 kes telah direkodkan berbeza hanya 38 kes pada 2018 dan ia cukup membimbangkan malah perlu ditangani segera.

“Kes kemalangan yang melibatkan lembu merupakan rekod paling tinggi di LPT2 termasuk haiwan lain seperti kerbau, kera, khinzir  dan biawak,”ujar Mohd Adli lagi.


Mohd Adli dan Pengurus Operasi LPT2, Patil Humul Harun meninjau pagar yang dirosakkan oleh segelintir penternak haiwan yang tidak bertanggungjawab.
Turut menjadi masalah apabila terdapat laporan tentang segelintir penternak yang sengaja merosakkan pagar untuk memudahkan ternakan mereka memasuki kawasan LPT2 untuk mencari makanan atau jalan pintas.

"Mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat iaitu dengan sengaja merosakkan pagar dan bagi kesalahan itu, mereka yang terlibat boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," ujarnya.

Beliau juga berharap  penternak-penternak dapat memberi sepenuh komitmen dan mematuhi peraturan dan undang-undang  yang ditetapkan demi  keselamatan dan kesejahteraan pengguna di Terengganu dan daerah Hulu Terengganu khususnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: