Monday, 20 January 2020

Pemasangan Lampu Jalan Diutamakan Di Kawasan Berisiko

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 20 Januari - Pemasangan lampu jalan di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya jenayah dan kemalangan akan diberi keutamaan oleh kerajaan Terengganu berbanding lokasi biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sudah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan lampu di sepanjang jalan namun ia perlu diteliti dengan rapi kerana melibatkan kos yang besar.

“Perkara ini sedang kita selesaikan secara berperingkat mengikut keutamaan kerana pemasangan lampu jalan juga melibatkan kos pemasangan, kos penyelenggaraan dan bil bulanan yang perlu dijelaskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Tentu sekali apabila kita mengesyorkan kepada PBT untuk dipasang lampu jalan, kawasan jalan yang berisiko dan sering berlaku kemalangan akan menjadi keutamaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, TNB adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan elektrik dan tidak menjadi masalah bagi mereka untuk memasang lampu di mana-mana sahaja.

Namun kata Dr Azman, perkara yang diberi pertimbangan oleh pihaknya adalah mengenai kepentingan orang ramai dan berdasarkan itu kerajaan negeri meletakkan beberapa peringkat pelaksanaan.

“Bagi pemilik rumah yang ada sedikit kemampuan, saya syorkan supaya mohon lampu jalan persendirian dengan TNB yang akan dipasang pada tiang lektrik terdekat dengan rumah kita serta mengadap ke rumah kita. Bayaran RM10 sebulan akan dimasukkan terus ke dalam bil.

“Ia lebih cepat dan tidak perlu menunggu giliran. Keutamaan kita sekarang ini ialah untuk terangkan jalan-jalan gelap yang melibatkan kepentingan umum terlebih dahulu.

“Keperluan persendirian terpaksa diletakkan di belakang dulu untuk sementara,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: