Wednesday, 1 January 2020

Pelbagai Gelagat Pelajar Hiasi Hari Pertama Persekolahan

SHARE
Pelajar tahun satu. Foto oleh - Ima Wahida Mohd Zaid.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Pelbagai gelagat pelajar menghiasi hari pertama persekolahan sesi 2020 di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, di sini hari ini.

Kebanyakan mereka teruja dan bersemangat bersama rakan-rakan yang baru dikenali.

Ada juga yang murung, kelihatan mengantuk dan bosan kerana masih belum membiasakan diri dengan persekitaran sekolah baharu.

Guru Besar, Wan Zainulddin Wan Ismail berkata, pihak sekolah membuat persediaan lebih awal bagi memudahkan dan melancarkan hari pertama pembukaan sekolah berikutan peningkatan bilangan pelajar terutamanya murid Tahun Satu.

“Kita membuat persediaan awal dan segala aktiviti untuk minggu orentasi telah disusun dengan rapi oleh guru. Insya-Allah sesi pembelajaran akan berjalan dengan lancar.

“Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada ibu bapa pelajar yang begitu ceria menghantar anak mereka,” jelasnya ketika ditemui media.
Wan Zainulddin (kanan).
Sementara itu, ibu bapa pelajar Tahun Satu, Khairul Nizam Yahya, 45, dan Masni Musa, 37, berkata, mereka bersyukur kerana anak kedua daripada tiga beradik itu tidak mengalami sebarang masalah pada hari pertama persekolahan.

“Alhamdulillah, hari ini hari pertama dia bersekolah, setakat ini tiada apa-apa masalah walaupun tadi dia tak nak masuk kelas sekejap.

“Sebelum ini pun sebenarnya dia dah biasa bersekolah di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), dah dua tahun di sana, jadi dia dah biasa bergaul dengan orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar Tahun Empat, Nur Airis Solehah Mohd Fauzi, 10, sangat gembira dan teruja apabila sesi pembelajaran telah bersambung.

“Saya gembira, hari ini dapat berjumpa ramai kawan-kawan baharu, rasa semangat nak belajar dan dapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Nur Airis Solehah.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: