Sunday, 19 January 2020

Panel Penyelidik Bantu Perkasa Badan Legislatif - YDP DUN Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Panel penyelidik yang dilantik oleh kerajaan negeri adalah bertujuan untuk memberikan pandangan dan cadangan bagi membantu dan memperkasakan badan legislatif negeri Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata, panel itu ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan yang ditubuhkan oleh DUN.

Katanya, fungsi panel penyelidik tersebut di antara lain adalah untuk menyemak dan mengkaji serta membuat penambahbaikan berkait dengan soal pentadbiran, pengurusan dan juga peranan DUN.

“Yang kedua bagi mengkaji dan menyemak serta menambah baik perkara yang berkait dengan perjalanan sidang dewan.

“Dan yang ketiganya berkait dengan mengkaji serta membuat penambahbaikan berkait dengan ‘standing order’ ataupun peraturan dan perintah tetap dewan,” jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan laporan akhir kajian pemantapan DUN di sebuah hotel di Kuala Lumpur di sini kelmarin.

Katanya, sebahagian dapatan kajian tersebut telah pun dilaksanakan termasuk berkait dengan teknologi maklumat (ICT) dalam pakej E-Dewan.

“Kita juga berusaha untuk membina keterampilan ahli-ahli dewan. Di sana ada disediakan pelbagai kursus dan juga bengkel untuk ahli dewan dan seterusnya ia juga berkait dengan perkara-perkara lain iaitu kajian-kajian perbandingan yang dibuat oleh pihak panel berdasarkan pengalaman di tempat-tempat yang lain,” ujar beliau.


Menurutnya, negeri Terengganu mengemukakan moto untuk menjadi negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Antara yang dimaksudkan dengan maju itu adalah memperkasakan kerajaan melalui badan legislatif sebagai salah satu cabang kerajaan.

“Kita mahu menjadikan badan legislatif lebih unggul dan lebih profesional serta memainkan peranan ‘semak dan imbang’ bagi membantu pihak eksekutif,” katanya.

Justeru itu, beliau yang mewakili pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak panel penyelidik yang banyak membantu Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan.

“Kita harap laporan yang dikemukakan ini sekiranya dapat dilaksanakan menjadi satu model dan momentum bagi memperkasakan badan legislatif ataupun DUN,” tambah Dato’ Yahaya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: