Thursday, 23 January 2020

Pakaian Patuh Syariah Atlet, Terengganu Puji Pahang

SHARE
Hishamuddin (dua dari kanan) menerima sijil penghargaan dari pihak pengajur.

KUANTAN, 23 Januari – Kerajaan Terengganu memuji Kerajaan Pahang kerana mula mengorak langkah untuk melaksanakan pakaian patuh syariah di kalangan atlet negeri itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, langkah permulaan kerajaan itu wajar dipuji.

“Kalau semua negeri berganding bahu, kelak industri pakaian sukan patuh syariah bakal mengambil tempat dalam negara ini. Percayalah.. ia bukan melumpuhkan pembangunan sukan,” tulis beliau dalam status facebooknya sempena Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) di sini kelmarin.

Hishamuddin berucap dalam 'sharing session' di Seminar Pemakaian Atlet Sukan Patuh Syariah Peringkat Negeri Pahang di Kuipsas, Kuantan Pahang.

Katanya, selama satu jam beliau diberi ruang untuk 'sharing session' (sesi berkongsi) melalui pengalaman Terengganu dalam memperkenalkan konsep patuh syariah di kalangan atlet dan aktiviti sukan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata konsep patuh syariah skopnya besar (luas) dan penumpuan khusus banyak diberikan kepada etika berpakaian agar lebih bertepatan.

“Penegasan saya mudah, konsep yang ingin diperkenalkan mesti seiring dengan proses mendidik rakyat bukan menghukum.

“Ruang dan peluang perlu diberikan secukupnya untuk semua pihak melakukan perubahan dengan tunjuk ajar yang konsisten,” jelasnya.

Tambahnya, ia juga bukan soal siapa memulakan dahulu dan tidak ada sebarang kebanggaan pun (dari sudut politik) dengan langkah awal kerajaan Negeri Terengganu membentuk garis panduan pemakaian atlet.

“Ia bukan peluang untuk meraih 'political mileage' (keuntungan politik). Sebenarnya ia tanggungjawab kepada agama. Malah, hampir dua tahun ini kita belum lagi mencapai tahap yang membanggakan dalam aspek pematuhan syariah ini.

“Pun begitu, usaha terus berjalan, sinarnya makin terang tapi cabaran semasa amat menggerunkan,” ujarnya.

Katanya, dalam usaha melakukan perubahan ini, kerajaan akan dilihat secara persepsinya untuk 'terus perfect' dalam agenda tersebut sedangkan sistem sedia ada tidak mampu untuk menyaksikan perubahan secara total.

“Tindakan 'enforcement' (penguatkuasaan) adalah langkah paling akhir. Yang sedang berjalan adalah kempen dan didikan.

“Kita mesti lalui semua kecaman dengan sabar dan terus konsisten mengejar matlamat untuk dijayakan. Sebab itu matlamat mesti jelas,” katanya lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: